SUDAH hampir setengah tahun pelakon Faizal Yusof meninggal dunia kerana serangan jantung. Tetapi kenangan ketika mereka hidup bersama akan terus dikenang bekas isterinya, Siti Nordiana (Nana), 27, sampai bila-bila.
Apatah lagi setiap kali Nana melihat wajah anak tunggal mereka, Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia tiga tahun tiga bulan, kenangan bersama Faizal terus mekar kerana wajah si kecil mirip bapanya. Walaupun sebelum pemergian Allahyarham, mereka sudah bercerai, kasih sayang Nana padanya tidak pernah padam. Apapun yang terjadi sepanjang tiga tahun perkahwinan mereka, tidak sedikit pun melunturkan kasihnya pada lelaki itu. Selepas bercerai, peritnya Nana bergelar janda muda. Bukan kehendaknya, sudah jodoh mereka setakat itu. Pertemuan dengan Wartawan SELEBRITI, NOR AKMAR SAMUDIN, Rabu lalu, Nana menzahirkan perasaannya yang terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki bagi membesarkan anaknya.
SAYA sangat mencintai arwah dan rasa cinta itu akan terus menyala sampai bila-bila walaupun kini dia sudah tiada. Faizal cinta pertama saya. Mulanya kami bercerai 'hidup' dan kemudian kami bercerai 'mati' namun kasih sayang padanya tidak pernah padam. Dek kerana itulah payahnya hati ini untuk menerima lelaki lain sebagai penggantinya.
Belum pernah saya menyatakan rasa terpendam ini kepada sesiapa pun termasuklah kepada Faizal sendiri. Jika saya berkata begini ketika hayatnya ada, tentu kurang manis kerana dia sudah beristeri baru. Aneh bukan? Kalau saya mencintainya separuh mati, pasti ramai tertanya-tanya kenapa saya minta cerai dan di manakah cara mendapat kekuatan itu untuk berpisah dengannya untuk kembali hidup sendiri? Bukan senang menjadi janda pada usia muda apatah lagi ada anak. Memang saya mencintainya tetapi dia tak sayangkan saya lagi. Itulah katanya pada saya. Luluhnya hati ini. Lalu bagaimana saya dapat meneruskan hidup ini bersamanya andai kata langkah dihayun tidak sama rentaknya lagi? Saya sayangkan dia sedangkan kasihnya sudah tertumpah pada yang lain. Lalu saya rela lepaskannya pergi. Pergilah cari kebahagiaannya sendiri andai cintanya pada saya sudah terpadam. Sedihnya hati tetapi kami tidak lagi mampu berpura-pura bahagia depan orang lain. Apabila kita menyayangi seseorang pasti kita mahu lihat dia gembira dan bahagia. Jadi itulah yang saya buat, izinkan dia pergi memupuk cinta baru. Rumitnya hidup ini. Dia dah kata tak sayangkan saya tetapi cinta saya padanya tidak pernah berubah. Apabila berbicara soal hati, rasa bagai nak mati. Sekarang dia sudah benar-benar tiada di sisi buat selama-lamanya kerana Allah SWT lebih sayangkannya. Dia meninggalkan saya dengan tanda kenangan yang cukup abadi, iaitu anak Rayyan Nakhaie. Wajah Rayyan saling tidak tumpah seperti abahnya. Perangainya dan dia tidur berdengkur macam abahnya juga. Dia juga ada bakat berlakon macam Faizal. Saya tak tahu sejauh mana Rayyan mengerti situasi sekarang. Ada ketika dia macam faham yang abahnya dah tiada, pada masa lain pula dia menunggu kedatangan Faizal untuk membawanya keluar. Dia hantar jenazah abahnya sampai ke liang lahad. Hubungan saya dengan Faizal masih baik walaupun sudah bercerai dan saya juga rapat dengan keluarga mentua. Uniknya hidup ini, ketika suami isteri, kami macam anjing kucing. Apabila dah bercerai, boleh pula baik. Masa masih bersama, dia sibuk berlakon dan jarang di rumah. Segalanya saya buat sendiri, sampailah saya mengandungpun, saya uruskan semuanya. Jurang komunikasi juga membuatkan hubungan kami selalu tegang. Faizal seorang yang tegas dan menjadikan saya individu yang lebih baik. Setiap orang mesti ada kekurangan dan kelebihannya. Apapun, sejak berkahwin dengannya, saya sangat berdikari. Hikmahnya bila kami bercerai, meskipun berat, saya boleh hidup sendiri walaupun terasa pincang. Sekarang kalau ada hal, saya tinggalkan sekejap Rayyan di rumah bekas mentua saya. Bila dia ke rumah neneknya itu, dia akan tunjuk rumah abahnya yang tidak jauh dari situ dan hendak berjumpa dengan arwah. Agaknya dia rindukan arwah. Masa yang lain pula dia akan membacakan al-Fatihah untuk arwah dalam bahasanya yang pelat. Bila dia tengok kasut atau baju Nike, dia ingatkan abahnya kerana itulah jenama kesukaan arwah dulu. Saya ini lembut dan kalau Rayyan nakal, saya mati akal kerana tak sampai hati merotannya. Cara terbaik saya akan telefon Faizal, suruh dia marahkan anaknya. Walaupun sudah tidak berkongsi mimpi sama, kami membesarkan Rayyan bersama. Meskipun Faizal ada isteri baru, dia sangat mengambil berat mengenai Rayyan. Mereka selalu keluar berdua.
Saya masih ingat dan kenangan itu akan terus segar. Beberapa bulan sebelum Faizal meninggal, dia ada ajak saya keluar makan sekali dengan Rayyan dan saya terima pelawaan itu. Tetapi tak sempat kerana dia pergi dulu. Sekarang, saya menjaga Rayyan seorang diri. Waktu Faizal ada, Rayyan belum pandai bercakap. Kini dia petah berkata-kata dan kerenahnya juga semakin banyak. Semua perkara saya kena buat sendiri. Saya terpaksa kerja keras mencari rezeki membesarkan Rayyan. Saya juga masih menanggung keluarga di kampung (Sendayan, Negeri Sembilan). Kalau dalam masa sebulan tak ada show, memang pening. Saya akan berusaha mencari kerja sampingan lain termasuk menjual barangan kesihatan. Orang hendak kata apa, cakaplah. Asalkan ia rezeki halal. Membesarkan Rayyan dengan statusnya sebagai anak yatim juga menuntut kesabaran tinggi. Kalau salah didikan, saya juga yang akan dipersalahkan. Sebelum ini, saya bekerja makan gaji, ikut waktu pejabat dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Setahun saja bertahan.Selama 12 tahun saya menyanyi, bekerja di pejabat tidak serasi dengan jiwa. Sebab itulah saya berhenti dan menyanyi semula. Dugaannya, saya tiada pendapatan tetap tetapi bidang seni sudah jadi darah daging. Walaupun terpaksa beronak duri, saya teruskan juga. Sebagai janda muda, dugaannya besar. Tetapi saya bersyukur dengan adanya Rayyan, saya tahu batas pergaulan. Walaupun cinta saya pada Faizal tetap utuh tetapi sudah sampai masanya saya membina hidup baru. Saya berkawan dengan ramai lelaki tetapi belum ada benar-benar berkenan di hati. Lelaki yang ingin menyunting selain dapat menerima saya seadanya, dia juga mestilah dapat menerima Rayyan seperti anaknya sendiri. Tetapi dalam zaman sekarang, adakah lagi lelaki yang ikhlas menerima tanggungjawab sebagai bapa segera? Kalau saya berkenan dengan anak teruna pula, mahukah keluarganya menerima janda sebagai menantu mereka? Segalanya berlegar dalam fikiran dan untuk itu, biarlah saya besarkan Rayyan dulu. Kalau ada jodoh, adalah dan moga Allah berikan pasangan hidup yang baik dan beriman. Kahwin kali pertama, rumah tangga saya runtuh dan tak mahulah ia berulang. Perkara itu menghantui saya kerana takkan saya berkahwin untuk bercerai sekali lagi. Saya juga sedih kerana ada menuduh saya perempuan sial kerana dua orang yang rapat dalam hidup saya, Achik Spin dan Faizal meninggal dalam jarak waktu yang agak rapat. Sampai hati mereka menuduh saya begitu dan hairannya masih ada lagi yang percaya mengenai nasib sial ini. Hanya setakat itu umur mereka dan apa saja yang berlaku, Allah SWT yang tentukan. Saya selalu doakan roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beramal soleh. Janganlah membuat tuduhan membuta tuli, ingatlah qada dan qadar Allah SWT.”
Article from My Metro Ahad....
No comments:
Post a Comment