Nonie Aznida : Gadis Berkaca Mata: April 2009

Sunday, April 26, 2009

MELAKA

Bandaraya Bersejarah

Bandar Melaka mempunyai dua persona yang berbeza, yang lama dan yang baru. Bahagian bandar Melaka yang lama terletak setempat dan agak padat serta mempunyai pelbagai tarikan sejarah dan budaya yang terselit di jalan-jalan sempit yang bersimpang siur di sini.

Kebanyakan peninggalan sejarah zaman silam Melaka boleh dilihat di Dataran Pahlawan serta di sepanjang kawasan perairan sungai Melaka.

Berhadapan dengan Dataran Bandar tersergam Bukit St. Paul, yang merupakan tapak asal Kubu Portugis, iaitu A'Famosa, dan Gereja St. Paul.

Terdapat juga jejak warisan bertanda-arah di sini yang boleh diikuti oleh para pelawat bagi melihat tapak-tapak dan tarikan bersejarah yang terdapat di bandar lama Melaka. Bahagian bandar Melaka yang baru pula terletak di seberang sungai Melaka, dan kebanyakan kawasan ini terbina di kawasan muara Sungai Melaka yang telah ditebus guna. Kawasan ini merupakan kawasan hiburan dan makanan yang sibuk, di mana terletaknya pelbagai kemudahan moden termasuk pusat membeli-belah Mahkota Parade.

Di luar bandar Melaka pula, terdapat beberapa buah pantai yang menarik, padang golf, serta dua buah pulau yang tidak jauh dari tanah besar, di mana terdapatnya pusat peranginan yang indah. Daerah Air Keroh pula terletak amat berdekatan dengan Lebuhraya Utara-Selatan dan menawarkan berbagai jenis taman tema rekreasi yang pasti menyeronokkan.


Menara Taming Sari

Nama menara ini diambil sempena nama keris lagenda Taming Sari yang digunakan oleh Laksamana Melaka yang terkenal iaitu Laksamana Hang Tuah. Menara ini dibina atas cetusan idea YAB Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd. Ali bin Haji Mohd. Rustam sendiri.

Menara ini dapat berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar Melaka secara keseluruhan. Menara tinjau yang berketinggian 110 meter ini merupakan satu-satunya menara berputar yang menggunakan konsep 'gyro' di Malaysia dan dapat memuatkan 66 penumpang pada satu masa.

Menara yang menggunakan teknologi baru dari Switzerland dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri Melaka. Setiap pengunjung yang menaiki Menara Taming Sari ini pasti akan tersenyum puas melihat pemandangan dari atas pelantar menara ini.

Tips
Nikmati panorama indah Bandaraya Melaka pada 360 darjah pemandangan selama 7 minit di menara berputar di ketinggian 110 meter.

Top
Pengangkutan
Kereta
Menara Taming Sari terletak di Banda Hilir iaitu bersebelahan dengan Dataran Pahlawan.

Top
Talian Untuk Dihubungi
Untuk keterangan lanjut sila hubungi Pejabat Melaka Taming Sari Berhad di talian 06-2881100/06-2813366 atau layari laman web mereka iaitu http://www.menaratamingsari.com Anda juga boleh menghubungi Pejabat Tourism Malaysia Melaka di talian +606-763 5388 / 762 2388 / 762 4488

Kompleks Falak Al-Khawarizmi

Kompleks Falak Al-Khawarizmi merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi mengkaji dan meneroka kejadian serta rahsia alam cakerawala.

Terdapat tiga bangunan utama di dalam Kompleks Falak Al-Khawarizmi, iaitu Balai Cerap, Planetarium dan Pusat Latihan. Balai cerap yang menelan kos berjumlah RM2.1 juta termasuk kelengkapannya menyediakan pelbagai kemudahan seperti bilik orang kenamaan (VIP), surau, ruang pameran dan bilik kuliah untuk kegunaan kakitangan dan para pelawat.

Bilik VIP ini dilengkapi dengan kemudahan rangkaian komputer yang mana ia disambung kepada kubah balai cerap ini. Di anjung tinjau pula ditempatkan tiga buah teropong.

Pihak pentadbiran juga menjalankan pelbagai kegiatan termasuk pendidikan dan aktivitinya tertumpu kepada penganjuran kursus-kursus falak, di antaranya kursus Teleskop, Theodolite dan terbaru kursus Rubu’ Mujayyab.

Tips
Ianya dibuka kepada orang ramai pada setiap hari bermula dari jam 9.30 pagi sehingga 4.30 petang. Para pelawat dinasihatkan memakai pakaian yang kemas dan tertib. Seluar pendek, mini skirt dan baju tanpa lengan tidak dibenarkan.

Top
Pengangkutan
Perkhidmatan bas
Anda boleh menaiki bas dari stesyen bas Melaka Sentral ke bandar Masjid Tanah. Kemudian menaiki bas dari bandar Masjid Tanah ke Kem Terendak di mana pemandu boleh menurunkan anda di kompleks tersebut.

Kereta
Dari lebuhraya utara selatan (PLUS) ambil susur keluar ke Simpang Ampat dan teruskan perjalanan ke Pekan Masjid Tanah. Ikut arah menuju ke Tanjung Bidara dan anda akan melihat papan tanda bertulis 'Kompleks Falak Al-Khawarizmi.'

Zoo Melaka

Zoo Melaka yang telah ditubuhkan pada tahun 1963 merupakan Zoo yang kedua terbesar di negara ini.

Dengan keluasan 54 ekar, Zoo Melaka kini mempunyai hampir 1,500 hidupan liar dari 200 spesis yang berbeza.

Kebanyakan hidupan liar yang ditempatkan di sini merupakan spesis hidupan liar yang hampir pupus dan terancam.

Tips
Waktu melawat: Zoo (pagi hari) 9 pagi - 6 petang setiap hari. Zoo (malam) bermula Jumaat - Sabtu, Cuti Sekolah, Cuti umum mulai 8 malam - 11 malam.

Top
Pengangkutan
Kereta
Ikut susur keluar ke pertukaran Ayer Keroh dari lebuh raya Utara Selatan. Pandu terus dan anda akan melihat papan tanda Zoo Melaka.

The Stadhuys

Bangunan Stadhuys yang di bina pada tahun 1650 sebagai kediaman rasmi Gabenor Belanda dan para pegawainya merupakan contoh terbaik gaya senibina Belanda ketika itu.

Ianya dipercayai merupakan bangunan Belanda yang tertua di rantau Timur.

Bangunan yang menggambarkan contoh terbaik senibina Belanda di zaman itu kini mengandungi Muzium Sejarah dan Muzium Etnografi.

Terdapat pameran pakaian pengantin tradisional serta bahan peninggalan sejarah Melaka 400 tahun yang lalu.

Kedua-dua muzium ini diatur dengan baik dan memaparkan penerangan terperinci mengenai cara bagaimana pakaian-pakaian dan bahan-bahan peninggalan ini memainkan peranan di zaman dahulu.

Tips
Di dataran berhadapan dengan bangunan Stadhuys seringkali kelihatan penarik-penarik beca tua yang peramah yang sedang menunggu pelanggan dengan beca mereka yang dihias cantik. Anda berpeluang mengambil gambar bersama-sama beca mereka dengan sedikit bayaran. Stadhuys ditutup setiap hari Isnin.

Top
Pengangkutan
Berjalan, Teksi
Stadhuys terletak di tengah-tengah bandar lama Melaka. Jika anda berada di Jalan Kota, anda tentu terjumpa bangunan besar yang berwarna merah ini.

Muzium Warisan Baba Nyonya

Penduduk Cina Selat yang juga digelar Baba Nyonya, merupakan warga Cina berketurunan diraja yang telah banyak menerap budaya Melayu di dalam kehidupan mereka. Fenomena ini merupakan proses yang memakan masa lebih 400 tahun, sejak pengembara terkenal, Laksmana Cheng Ho mula-mula membawa warga Cina untuk menetap di Melaka.

Setelah berkurun lamanya, penduduk Baba Nyonya telah membentuk budaya mereka sendiri yang berbeza dengan budaya Cina yang lain dan hanya terdapat di pantai barat, terutamanya di negeri Melaka.

Kini, pelawat boleh melihat bahan-bahan artifak unik berkaitan kebudayaan ini di sebuah muzium yang dikendalikan oleh komuniti Baba Nyonya Melaka. Anda boleh mempelajari segalanya mengenai budaya unik ini di muzium yang terdapat di dalam bangunan bersejarah ini.

Muzium Warisan ini menawarkan lawatan berpandu (dengan tempahan), kemudahan kaji selidik dan audio visual. Memang berbaloi untuk di lawati!

Tips
Tradisi Cina lama mengikat kaki agar bersaiz kecil adalah menjadi kebiasaan di kalangan penduduk Baba Nyonya zaman dahulu. Lihatlah pameran kasut kecil yang dihias manik yang halus dan indah serta gambar-gambar hitam-putih yang diambil ketika zaman Kesultanan Melaka dahulu. Muzium Warisan Baba Nyonya ini ditutup pada hari Ahad.

Top
Pengangkutan
Berjalan, Teksi
Muzium ini terletak di Heeren Street yang selari dengan Jonker Street.

Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN

Taman Mini Malaysia terletak beberapa kilometer di pinggir bandar Melaka berdekatan pekan Ayer Keroh. Sekiranya anda berminat dengan senibina dan cara hidup tradisional, inilah tempat yang paling sesuai untuk anda terokai.

Setiap buah rumah di sini mewakilkan salah satu gaya senibina dari 13 buah negeri di Malaysia dan 12 buah rumah ASEAN yang dihiasi dengan pelbagai barangan, hasil seni dan kraftangan yang menggambarkan budaya di setiap negeri tersebut.

Di dalam setiap buah rumah di sini, anda akan dapat melihat pelbagai seni kraftangan tulen yang berasal dari negeri atau daerah berkenaan. Rumah-rumah tradisional yang dibina dengan tiang kayu ini turut mempamerkan patung yang memakai baju Melayu tradisional gaya khusus bagi negeri berkenaan.

Lain-lain tarikan di taman ini termasuk pertunjukan kebudayaan dan permainan tradisional yang diadakan pada setiap minggu. Taman ini juga menawarkan kemudahan untuk pakej seminar dan mesyuarat dengan harga yang berpatutan. Selain itu, kemudahan calet dan dormitori dengan kemudahan kolam renang juga disediakan untuk keselesaan pelancong. Aktiviti kerja berpasukan dan bengkel tarian asas juga boleh diadakan di sini.

Secara ringkas, taman ini memberi peluang kepada pelawat untuk melihat kesemua senibina dan warisan Malaysia dalam satu lawatan sahaja. Taman ini juga adalah tempat yang sesuai untuk berehat yang jauh dari kesibukan bandaraya.

Tips
Untuk menjimatkan wang dan masa, anda disarankan melawat taman ini di dalam perjalanan menuju ke bandaraya Melaka atau sewaktu pulang.

Top
Pengangkutan
Kereta
Ambil susur keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan di persimpangan Ayer Keroh. Pandu terus hingga anda melihat papan tanda Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN.

nak tahu lebih lanjutnya layari laman web
http://www.tourism.gov.my

Bukit St. Paul (A'Famosa)

Pihak Portugis telah menjajah Melaka dari tahun 1511 hingga 1641. Perkara pertama yang mereka lakukan ialah membina sebuah kubu berhampiran sungai yang dinamakan A'Famosa.

Kubu A'Famosa memainkan peranan yang amat penting bagi pihak Portugis bagi mengekalkan kuasa mereka di Timur Jauh ketika itu kerana Melaka adalah pusat perbalahan antara kuasa-kuasa besar dan sering diancam serangan.

Perkarangan kubu itu pada masa dahulu mengandungi rumah, tempat menyimpan makanan, istana dan tempat mesyuarat bagi Majlis Portugis dan wakil lima buah gereja.

Serangan pihak Belanda yang berterusan selama tujuh bulan lamanya hampir memusnahkan keseluruhan kubu tersebut di mana hanya gerbang pintu masuk dan bangunan gereja di atas bukit sahaja yang tinggal.

Pergilah berjalan-jalan mendaki Bukit St. Paul pada lewat petang ketika cuaca lebih nyaman dan bersiar-siar di bawah pokok-pokok besar dan melihat peninggalan sejarah yang dapat dilihat hingga hari ini.

Dapat anda bayangkan kegemilangan dan penderitaan yang melanda pihak Portugis di sini pada suatu waktu dahulu...

Tips
Anda disarankan melawat Bukit St. Paul hanya selepas pukul 3 petang, apabila bayu laut yang nyaman mula bertiup…

Top
Pengangkutan
Jalan Kaki atau Teksi
Tidak menjadi kesukaran kepada anda untuk datang ke Bukit St. Paul dari tempat penginapan kerana ianya terletak di tengah-tengah bandar Melaka.

Top
Talian Untuk Dihubungi
Untuk maklumat lanjut, sila hubingi Pusat Penerangan Pelancongan Melaka di talian : +606-763 5388 / 762 2388 / 762 4488
Top
Penginapan
Melaka menawarkan pelbagai pilihan tempat penginapan samada asrama pengembara yang ringkas atau hotel mewah bertaraf 5-bintang.



Teruskan membaca post saya