Nonie Aznida : Gadis Berkaca Mata: Najwa Sahut Cabaran Ayah

Thursday, August 25, 2011

Najwa Sahut Cabaran Ayah



SUDAH ramai peminat yang terpikat dengan lagu Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latif. Siapa sangka penyanyinya ialah remaja cilik berusia 16 tahun dari Batu Pahat, Johor.

Najwa yang nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif mula menyanyi sejak usia lima tahun dan ketika berusia 14 tahun sudah berjinak-jinak belajar main gitar di Yamaha Music.

Permulaan seni Najwa agak unik kerana ketika kanak-kanak sebayanya seronok bermain ‘pondok-pondok’ pada usia tujuh tahun, dia sebaliknya meminati persembahan kumpulan M2M dari Norway yang ditonton menerusi kaca TV. Inilah yang mencetuskan minatnya untuk bergelar penyanyi.

“Kumpulan ini dianggotai dua gadis di mana seorang main piano dan seorang lagi main gitar. Saya cakap dengan ibu bapa untuk belajar main gitar, tapi mereka tak galakkan bimbang saya berhenti separuh jalan. Contohnya dapat dilihat apabila kakak saya, Izzatul Farha, 23, dan Iqhwatul Syafika, 22, yang belajar main organ masa kecil, tapi terhenti separuh jalan.


“Ayah suruh saya tunggu sehingga saya besar sebelum boleh belajar main gitar. Bagaimanapun, minat menyanyi tetap diteruskan apabila saya menyanyi dalam persembahan yang dianjurkan oleh sekolah. Saya juga masuk bertanding dalam pertandingan nyanyian di sekolah menengah dan sering menduduki senarai tiga teratas,” katanya yang meminati genre muzik R&B dan pop.

Ibunya, seorang bekas penyanyi keroncong di Johor menjadi inspirasi Najwa untuk menyanyi manakala ayahnya seorang guru Geografi dan Pendidikan Jasmani Kesihatan turut menyokong asalkan pelajarannya tidak diabaikan. Malah, perpindahan ayahnya ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) sebagai jurulatih renang tahun lalu menjadi titik awal permulaan Najwa sebagai artis.

“Ayah tahu saya malas berlatih main gitar di rumah selepas pergi kelas seminggu sekali. Disebabkan jauh, ayah cabar saya supaya ‘improve’ skil main gitar dan tunjukkan padanya untuk dinilai. Saya pun buat video dengan menyanyikan lagu Bruno Mars, Justin Bieber, Taylor Swift, Daus dan banyak lagi sambil bermain gitar dan dimuatkan dalam YouTube untuk ayah lihat.

“Tanpa disangka seorang blogger bernama Cik Apple buat reviu untuk video lagu Bila Cinta nyanyian saya dan penonton lain muatkan video ini dalam blognya. Bermula dari situlah orang mula tengok video nyanyian saya. Selepas itu saya dapat panggilan dari NAR Records untuk sesi uji bakat. Saya nyanyikan lagu Bila Cinta, One In A Million dan lagu ciptaan sendiri, Carta Hati.

“Mereka tertarik dan tawarkan kontrak pada waktu itu juga, tapi saya hanya terima tawaran itu selepas dua minggu. Memang tak sangka sampai tahap ini langkah saya kerana niat asalnya hanya nak menyanyi buat ayah,” katanya.

Najwa yang hanya mengutamakan undangan menyanyi pada hujung minggu, mula mencipta lagu Carta Hati pada tahun lalu. Gandingan bersama kakaknya, Izzatul Farha sejak tahun lalu sering mencetuskan idea buat mereka menghasilkan lagu menarik seperti I Love You dan Cinta Muka Buku.

“Tahun ini kami hasilkan empat lagu iaitu KLIA, Only Yours, Kosong dan AdaMU. Lagu Cinta Muka Buku menjadi single pertama saya, manakala Carta Hati adalah single kedua. Saya bersyukur kerana Cinta Muka Buku mencatat angka 100,000 penonton sebulan di YouTube, manakala Carta Hati mencatat angka 300,000 penonton. Jumlah penonton untuk kesemua video saya ialah 5 juta orang.

“Namun, buat masa ini saya belum ada rancangan nak hasilkan album penuh kerana segalanya bergantung kepada NAR Records. Mungkin mereka ada strategi tertentu untuk album saya. Alhamdulillah saya puas hati kerana lagu ini dirakam dengan sempurna di studio mereka,” katanya.

Najwa yang pernah dianggap meniru imej Yuna berkata, mungkin perkara ini berlaku secara kebetulan. Namun dia sememangnya mengagumi penyanyi lagu Dan Sebenarnya ini dan tidak berniat untuk bersaing. Baginya Yuna sudah hebat sedangkan dia baru bermula dan mereka masing-masing mempunyai matlamat sendiri dalam seni.

Sementara itu, Najwa memberitahu perasaannya sangat teruja untuk menyambut Aidilfitri pertama sebagai artis. Dia tidak dapat bayangkan bagaimana melalui situasi berhadapan dengan peminat yang datang ke rumahnya nanti.

“Segala persiapan untuk sambut raya sudah disediakan dan sekarang saya hanya tunggu ketibaan Aidilfitri. Untuk Aidilfitri, saya terbabit dalam drama raya terbitan stesen radio KLFM.

“Insya-Allah bulan Oktober nanti saya akan buat show dengan abang Jay Jay. Saya harap kehadiran saya boleh diterima semua peminat. Malah matlamat saya sebenarnya mahu menaikkan taraf industri muzik Malaysia,” katanya.



Teruskan membaca post saya

1 comment:

shaliza khairi said...

owh. camtu rupanya. kira dari blog la najwa ni pofuler ye. huhu~